Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua warga mahasistua di menara gading, upsi. Bersabarlah untuk menempoh segala dugaan yang mendatang..

About Me

My photo
Be humble always and stay evergreen..

Friends

Apakah perubahan yang anda lakukan sekiranya menjadi Guru Besar Berkesan?

Saturday, April 24, 2010

MULTIMEDIA DALAM PENDIDIKAN

Multimedia Dalam Pendidikan

Di dalam dunia teknologi maklumat masa kini, di mana kita sering dihujani dengan maklumat yang begitu banyak, adalah amat penting bagi kita untuk menguruskan maklumat-maklumat ini supaya ianya memberi makna kepada kita. Jika tidak, maklumat ini tidak dapat digunakan untuk kebaikan dan tidak memberi apa-apa manfaat kepada kita. Kita yang berada di dalam dunia pendidikan ini perlulah melihat kepada penggunaan teknologi yang canggih dalam membentuk sistem yang dapat membantu memberi pengetahuan yang berguna kepada pelajar-pelajar.

Dalam era multimedia ini, adalah lebih penting bagi kita untuk melihat kepada cara-cara penggunaan multimedia untuk bukan sahaja memberi pengetahuan yang lebih tetapi juga untuk menggerakkan minda pelajar supaya tercetusnya idea-idea baru yang akan memberi pengetahuan baru kepada mereka. Sesungguhnya kewujudan sistem yang canggih tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa jika ianya tidak menggunakan kaedah yang betul untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada penggunanya.

Dalam dunia pendidikan subjek utamanya adalah guru dan pelajar. Adanya guru kerana adanya pelajar. Guru dan pelajar sama-sama telibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran adalah suatu proses dua hala di mana guru mengajar atau menyampaikan ilmu dan pelajar belajar iaitu menerima atau menimba ilmu.

Dalam sesuatu pengajaran secara tradisi, walaupun tidak dinafikan akan kejayaan yang telah diperolehi, namun ianya juga membawa bersamanya pelbagai masalah dan kekangan. Komunikasi sehala banyak berlaku di mana seseorang guru berperanan sebagai penyalur maklumat manakala pelajar hanya perlu duduk, mendengar dan mencatatkan isi penting yang diperlukan. Penyediaan alat bantu mengajar juga adalah terhad kepada bahan-bahan yang statik sifatnya. Ini boleh mengurangkan minat pelajar terhadap sesuatu matapelajaran.

Kehadiran komputer serta teknologi multimedia di dalam bidang pendidikan mampu membantu meringankan beban dan kekangan yang ada dalam pengajaran dan pembelajaran tradisi. Bagaimanakah penggunaan multimedia ini dapat menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas?

Mudah Memahami Konsep

Penggunaan multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dapat memudahkan pelajar memahami sesuatu konsep. Dengan adanya gabungan teks, grafik, audio, video dan animasi, pelajar lebih mudah memahami konsep yang ingin disampaikan oleh guru. Sebagai contoh, dalam mengajar Sistem Pencernaan Manusia, guru boleh menggunakan teks, grafik dan animasi bagi menunjukkan apa yang berlaku kepada makanan yang dimakan oleh seseorang bermula daripada makanan itu dimasukkan ke dalam mulut sehinggalah ia diserap ke dinding usus dan bahan buangan dikeluarkan dari badan sebagai najis.

Dalam topik Sudut Dongakan dan Sudut Tunduk dalam Matematik Tingkatan Empat, misalnya, penggunaan gambar dan video boleh digunakan bagi menunjukkan penggunaan konsep nisbah trigonometri dan sudut dongakan dan sudut tunduk untuk menyelesaikan masalah harian seperti menganggar tinggi tiang bendera. Dengan cara ini, konsep yang dibina dapat diperkukuhkan lagi.

Mengingat Lebih Lama

Dalam dunia pendidikan, penilaian dalam bentuk ujian dan peperiksaan amat penting bagi menguji keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Keputusan peperiksaan yang cemerlang amat penting bagi pelajar untuk melayakkan diri mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Setiap pelajar mempunyai kemampuan pembelajaran yang berbeza (Gardner, 1993). Pelajar yang pencapaiannya sederhana dalam sesuatu mata pelajaran perlu dibantu bagi membolehkan mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam seperti PMR dan SPM. Dalam zaman era teknologi maklumat ini, multimedia dapat membantu pelajar ke arah itu. Konsep yang digunakan ialah ‘membawa guru balik ke rumah pelajar bagi membantu pelajar membuat ulangkaji’.

Menurut Gagne (1985) untuk memahami sesuatu konsep pembelajaran pelajar perlu mengulangi pelajaran itu beberapa kali. Kaedah pembelajaran berulang menjadikan sesuatu perkara itu mudah difahami dan diingati lebih lama. Penghasilan VCD Fokus Skrin, dengan merakam penerangan guru mengenai sesuatu konsep dan rakaman dibuat berfokus kepada skrin komputer atau LCD.

Pelajar seolah-olah melihat penerangan guru kepada sesuatu konsep di rumah dan jika kurang faham boleh diulangtayang seberapa banyak kali yang dikehendaki sehingga faham. Ini dapat mengatasi defisit pembelajaran di dalam kelas. VCD ini boleh digunakan juga apabila hampir dengan peperiksaan untuk mengingat kembali konsep yang telah diajar.

Menarik minat pelajar

Sesetengah mata pelajaran seperti Matematik, merupakan suatu mata pelajaran yang mencabar bagi kebanyakan pelajar. Penggunaan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dapat menarik minat pelajar kepada subjek berkenaan. Multimedia memudahkan pemahaman-pemahaman idea-idea Matematik yang abstrak. Ia membantu dalam penyiasatan masalah Matematik dan menunjukkan maklumbalas perubahan bentuk objek atau ukuran secara spontan. Contohnya, dengan perisian Geometer’s Sketchpad (GSP), perubahan satu titik pada objek akan mengubah bentuk objek tersebut, perubahan nilai data akan mengubah nilai data berkaitan secara spontan dalam MS-Excel.

No comments:

Post a Comment